Khamis, 21 April 2022 | 11:17am

Guru rugi RM89,200 terjerat kata-kata manis

KUANTAN: Seorang guru sekolah menengah di Raub kerugian RM89,200 apabila terperdaya dengan 'umpan' hadiah dari luar negara yang tidak wujud atau Parcel Scam.

Terdahulu, guru wanita berumur 35 tahun itu berkenalan dengan suspek selepas menerima pesanan ringkas melalui aplikasi Instagram daripada individu dikenali sebagai Hasril Afiq pada 9 April lalu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Deputi Superintendan Yap Huat Tian, berkata mangsa yang masih bujang tertarik dengan kata-kata manis suspek yang ingin berkenalan.

Malah, beliau berkata, suspek sering bertanya tarikh lahir mangsa kerana kononnya mahu menghantar hadiah dari luar negara sebagai tanda pengenalan mereka.

Justeru, katanya, guru itu memberi nombor telefonnya kepada suspek bagi memudahkan perbualan mereka, selain memberitahu alamat sekolah tempat mangsa bertugas untuk suspek menghantar hadiah.

"Pada 10 April lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa sebagai pihak perkhidmatan penghantaran.

"Lelaki itu mendakwa barang diposkan kepada mangsa telah disita oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), malah menghantar 'resit' sebagai bukti," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Huat Tian berkata, lelaki terbabit mendakwa JKDM membuat pemeriksaan dan mendapati ada pelbagai barang berharga di dalam kotak hadiah yang dikirimkan kepada mangsa, seperti beg tangan, barang kemas, cermin mata, anak patung dan wang dalam mata wang dolar Amerika Syarikat sebanyak AS$60,000.

Beliau berkata, mangsa kemudian diminta membuat bayaran ke dalam beberapa akaun bank.

"Susulan itu, mangsa melakukan 12 transaksi pemindahan wang sehingga kerugian sebanyak RM89,200. Namun, mangsa yang mengesyaki diri ditipu kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Koyan, Raub, semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya sambil menasihati orang ramai supaya tidak mudah terjerat dengan helah sindiket penipuan.

Berita Harian X