Rabu, 20 April 2022 | 4:13pm

Penceramah bebas dibebaskan dengan jaminan polis

KUALA TERENGGANU: Penceramah bebas yang ditahan, kelmarin, bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan, dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan daripada pihak pendakwaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Suffian Sulaiman, berkata ia susulan tempoh tahanan reman terhadap suspek berusia 61 tahun itu berakhir hari ini.

Sebelum ini, beliau berkata, suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

"Pegawai penyiasat akan melengkapkan kertas siasatan dan merujuknya kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan negeri," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan penceramah bebas itu bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang juga anak rakannya.

Suspek ditahan di Balai Polis Ajil, Hulu Terengganu, ketika hadir memberikan keterangan selepas ibu kepada mangsa berumur lima tahun itu membuat laporan polis berhubung kejadian yang didakwa berlaku di sebuah rumah bot di Hulu Terengganu.

Berita Harian X