Selasa, 19 April 2022 | 8:13pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Pengurus hilang RM1.2 juta kena 'scam' polisi insurans

ALOR SETAR: Seorang pengurus syarikat kerugian RM1.2 juta selepas diperdaya 'Sabrina' yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans.

Semuanya bermula apabila wanita berusia 50-an itu menerima panggilan telefon pada 18 Oktober tahun lalu dari Sabrina yang mendakwa mangsa membuat pembelian polisi insurans berjumlah RM70,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, selepas wanita itu menafikan pembelian polisi insurans berkenaan, suspek mengarahkan mangsa membuat laporan polis.

Menurutnya, talian mangsa kononnya disambungkan ke Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur dan mangsa kemudian bercakap dengan beberapa individu yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Adam, Inspektor Mazlan serta Inspektor Yong.

"Mangsa kemudian dimaklumkan terdapat waran tangkap terhadapnya kerana terbabit dalam jenayah pengubahan wang haram dan kes pembunuhan. Mangsa menafikan pembabitannya dalam kes jenayah dinyatakan.

"Dia kemudian dihubungi Puan Mastura (Timbalan Pendakwa Raya) kononnya boleh membuat penangguhan waran tangkap dengan syarat mangsa perlu memberi kerjasama kepada polis dan melaporkan aktiviti hariannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elias berkata, hasil siasatan mendapati, mangsa mengaku mendedahkan maklumat akaun bank dan kad debit miliknya kepada kumpulan terbabit termasuk jumlah wang.

"Suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat pindahan wang dari akaun Tabung Haji ke akaun Bank Islam berjumlah RM900,000 dan Bank Rakyat berjumlah RM200,000," katanya.

Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu apabila membuat semakan ke atas kedua-dua akaun bank miliknya pada 11 April lalu sebelum mendapati wang miliknya sudah dipindahkan ke akaun pihak ketiga sebanyak lebih RM1.2 juta.

"Mangsa buat laporan polis semalam dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X