Selasa, 19 April 2022 | 5:47pm

Pasangan kekasih warga Nigeria dituduh edar kanabis

MELAKA: Sepasang kekasih warga Nigeria dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar lebih 620 gram kanabis bulan lalu.

Kebechi Thomas Nwankwu, 36, dan Happy Akhidenor Aituaje, 31, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Inggeris oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya kanabis berat kasar, 626.10 gram di Pangsapuri Bukit Beruang Bestari, Taman Bukit Beruang Bestari, Ayer Keroh di sini, pada 24 Mac lalu kira-kira 5.30 pagi.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan oleh Majistret Nabihah Mohd Noor memandangkan kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin manakala peguam Norfazlinda Alimad menyebut bagi pihak peguam bela, Renalyn Rivera yang mewakili, Kebechi.

Tertuduh kedua, Happy tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 24 Mei depan bagi mendapatkan laporan kimia berat sebenar dadah.

Media sebelum ini melaporkan polis memberkas enam ahli sindiket penipuan Love Scam, Parcel Scam dan pengedaran dadah didalangi warga Nigeria yang menyamar profesor di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Melaka.

Semua mereka termasuk dua wanita diberkas menerusi operasi khas dan terancang dijalankan sepasukan polis unit risikan dan operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri dengan menyerbu tiga unit pangsapuri di Taman Bukit Beruang dan sebuah rumah di Taman Bukit Melaka di Ayer Keroh.

Berita Harian X