Ahad, 17 April 2022 | 12:37pm
Seorang wanita berlumuran darah selepas dipukul dengan kayu dalam pertengkaran dengan suaminya di sebuah ladang kelapa sawit dekat Layang-Layang, Kluang Johor. - Foto tular media sosial
Seorang wanita berlumuran darah selepas dipukul dengan kayu dalam pertengkaran dengan suaminya di sebuah ladang kelapa sawit dekat Layang-Layang, Kluang Johor. - Foto tular media sosial

'Belasah isteri dengan kayu kerana cemburu'

KLUANG: Hanya kerana cemburu, seorang lelaki tergamak membelasah isterinya dengan batang kayu hingga menyebabkan mangsa cedera dan berlumuran darah dalam kejadian di sebuah ladang sawit di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, berkata serangan itu berlaku selepas pertengkaran membabitkan suspek berusia 44 tahun dengan mangsa berusia 42 tahun yang bekerja sebagai kerani.

"Kejadian itu berlaku jam 12.51 tengah hari Jumaat di Ladang Sindora, Layang-Layang. Susulan serangan itu, mangsa cedera di bahagian kepala dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Enche' Hajjah Khalsom.

"Hasil laporan dan maklumat, jam 3 petang semalam, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang dibantu anggota Balai Polis Layang-Layang menahan suspek lelaki tempatan di ladang itu serta merampas sebatang kayu.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan saringan awal kencing ketika ditahan mendapati dia turut positif methamphetamine (syabu)," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, suspek yang juga penjual air, direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X