Sabtu, 16 April 2022 | 3:58pm
Mayat seorang lelaki mati dibunuh ditemui di Jalan Sepang-Salak hari ini. - Foto ihsan PDRM
Mayat seorang lelaki mati dibunuh ditemui di Jalan Sepang-Salak hari ini. - Foto ihsan PDRM

Cemburu dipercayai punca lelaki warga asing dibunuh

PUTRAJAYA: Cemburu dan dendam dipercayai menjadi motif utama kes pembunuhan seorang lelaki warga Bangladesh yang ditemui mati di tepi Jalan Sepang Salak, Sepang, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Penolong Pesuruhjaya Polis Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata susulan daripada itu, polis menahan tiga lelaki warga Indonesia berusia antara 24 hingga 50 tahun di sebuah rumah di Padang Jawa Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek ditahan ,pada jam 1 pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.

Katanya, penahanan dibuat susulan maklumat seorang individu di Shah Alam yang mendakwa mengenali mangsa.

Katanya, sebaik menerima maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggotanya pergi ke Taman Sri Muda, Shah Alam untuk bertemu dengan individu terbabit, iaitu seorang remaja warga asing berusia 16 tahun.

"Hasil siasatan mendapati, mangsa mempunyai hubungan dengan seorang wanita yang mempunyai tiga anak dan juga isteri kepada seorang warga asing.

"Pada 2020, suami wanita itu pulang ke negara asal lebih kurang setahun dan kembali semula ke Malaysia pada Ogos tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Kamarul berkata, suami wanita itu mendapat tahu isterinya berkawan dengan mangsa menyebabkannya marah dan menceraikan isterinya.

"Sepupu mangsa juga mendakwa sebelum ini lelaki itu turut memarahinya kerana mangsa rapat dengan bekas isterinya," katanya.

Wan Kamarul berkata, ketika tangkapan polis turut merampas tiga telefon bimbit dan siasatan juga mendapati salah seorang daripada mereka tidak ada dokumen pengenalan diri.

Semalam, media melaporkan penemuan mayat lelaki dipercayai dibunuh dalam keadaan terbaring dengan luka pada perut serta tangannya berikat kabel wayar di tepi Jalan Sepang-Salak.

Berita Harian X