Khamis, 14 April 2022 | 6:44pm

Pesara bank lesap RM180,000 ditipu 'Mejar Azman'

ALOR SETAR: Seorang pesara bank hilang wang simpanan berjumlah RM180,000 selepas diperdaya seorang lelaki dikenali sebagai 'Mejar Azman' sejak Ogos tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Elias Omar, berkata pada mulanya mangsa yang juga wanita berusia 50-an menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai wakil insurans.

Katanya, individu terbabit memaklumkan mangsa ada membuat tuntutan insurans di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

"Mangsa bagaimanapun menafikan perkara itu sebelum diarah membuat laporan kepada seorang pegawai polis bernama 'Mejar Azman'.

"Mangsa kemudian dikatakan terbabit dalam kes penggubahan wang haram dan pengedaran dadah serta terdapat waran tangkap ke atasnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Elias berkata, mangsa kemudian diarah membuka akaun di sebuah bank tempatan dan mendaftarkan nombor telefon yang diberi suspek.

"Suspek turut mengarahkan mangsa memindahkan wang simpanannya berjumlah RM180,000 ke dalam akaun yang baharu dibuka kononnya bagi tujuan penyiasatan.

"Mangsa hanya menyedari ditipu ketika membuat semakan ke atas akaun bank berkenaan dan mendapati wangnya dipindahkan ke akaun pihak ketiga secara berperingkat," katanya.

Mangsa kemudian membuat laporan polis semalam, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X