Rabu, 13 April 2022 | 6:37pm

Polis tahan dua lelaki simbah cat

ALOR SETAR: Polis menahan dua lelaki yang juga ahli sindiket Ah Long siber yang diupah menyimbah cat dan menghantar notis ugutan melalui laman sosial, sejak sebulan lalu.

Kedua-dua suspek berusia 23 dan 25 tahun melakukan kegiatan itu sekitar Alor Setar, Sungai Petani dan Kubang Pasu.

Tindakan licik mereka berjaya dikesan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, semalam.

Ketua Polis negeri, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, berkata mereka ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tengah Pumpong di antara jam 12.10 tengah malam dan 9.26 pagi.

Katanya, serbuan dilakukan hasil intipan pegawai selepas menerima laporan daripada mangsa terbaharu di Kota Setar.

"Susulan serbuan itu, kita merampas barang termasuk empat tong cat yang dipercayai diguna bagi menyimbah rumah mangsa, kereta, dua telefon bimbit, beg silang dan sebungkus cecair dipercayai air ketum.

"Turut dirampas dua plastik lut sinar mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis syabu seberat 4.45 gram serta kertas kotak coklat mengandungi tulisan 'pinjam wang bayar last warning untuk settle hutang'," katanya hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir dan Timbalan Ketua JSJK Kedah, Deputi Superintendan Mohd Norfadzly Mohd Hashim.

Wan Hassan berkata, sindiket Ah Long siber ini terbabit menggunakan platform media sosial untuk menawarkan pinjaman wang dengan kadar bunga yang tinggi.

Katanya, sindiket akan meminta peminjam mengisi maklumat peribadi dan nombor akaun bank dalam satu aplikasi yang diberi.

"Sindiket kemudian akan memasukkan wang RM300 ke dalam akaun peminjam sama ada peminjam setuju atau tidak, sebelum mengugut peminjam membuat bayaran segera pada kadar bunga yang tinggi.

"Jika peminjam gagal membuat bayaran, sindiket akan mengupah orang untuk menghantar notis ugutan serta membaling cat di rumah peminjam," katanya.

Wan Hassan (tengah) menunjukkan barang rampasan termasuk tong cat yang digunakan untuk menyimbah rumah mangsa. - Foto NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Wan Hassan (tengah) menunjukkan barang rampasan termasuk tong cat yang digunakan untuk menyimbah rumah mangsa. - Foto NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Berita Harian X