Rabu, 13 April 2022 | 12:22pm
Tertuduh, Khairuzilawati Ruslan, hadapi dua tuduhan mendera kanak-kanak di Mahkamah Sesyen Muar hari ini
Tertuduh, Khairuzilawati Ruslan, hadapi dua tuduhan mendera kanak-kanak di Mahkamah Sesyen Muar hari ini

Guru taska didakwa dera dua kanak-kanak

MUAR: Seorang guru pusat jagaan kanak-kanak (taska) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan mendedahkan dua kanak-kanak dalam jagaannya sehingga berisiko mengalami kecederaan, bulan lalu.

Tertuduh, Khairuzilawati Ruslan, 57, mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 itu, dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Irwan Suainbon.

Bagi pertuduhan pertama, wanita yang juga guru taska itu, didakwa mendedahkan mangsa berusia tiga tahun dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, Khairuzilawati berdepan tuduhan mendedahkan mangsa berusia tiga tahun dengan cara yang mungkin menyebabkan kanak-kanak itu lemas apabila menutup mulut dan hidung mangsa menggunakan kain mini telekung.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 10.30 pagi dan 4 petang pada 7 Februari lalu di Tadika Qurnia Genius beralamat 25, Tingkat 1, Jalan Perniagaan Mas Jaya, Jalan Salleh, Muar.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ummi Amyra Natasha Azhar, memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM25,000 bagi setiap pertuduhan serta larangan tertuduh mendekati mangsa dan keluarga kanak-kanak itu.

Manakala, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Hafizah Abdullah, yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana wanita itu yang juga ibu tunggal kepada lapan anak, selain tertuduh mengalami penyakit berkaitan otak.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin bernilai RM10,000 bagi setiap pertuduhan oleh seorang penjamin, selain melarang tertuduh mendekati mangsa, keluarga mangsa dan juga saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Mei bagi tarikh sebutan semula kes untuk proses serahan dokumen serta lantikan peguambela oleh tertuduh.

Sebelum ini, media melaporkan polis menyiasat seorang guru tadika yang dipercayai mendera empat kanak-kanak yang juga muridnya di sebuah taska swasta di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata penahanan wanita lewat 50-an itu telah dilakukan selepas suspek menyerah diri di balai polis 1 April lalu.

Katanya, siasatan dilakukan susulan ibu kepada seorang mangsa mempunyai satu rakaman video yang memaparkan anaknya sedang didera guru berkenaan.

Berita Harian X