Selasa, 12 April 2022 | 9:05pm
Anggota bomba memeriksa mayat kanak-kanak yang ditemui rentung di bawah timbunan zink dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Masjid, Kuala Baram, Miri, petang tadi. - Foto ihsan JBPM
Anggota bomba memeriksa mayat kanak-kanak yang ditemui rentung di bawah timbunan zink dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Masjid, Kuala Baram, Miri, petang tadi. - Foto ihsan JBPM

Budak 12 tahun rentung dalam kebakaran

MIRI: Seorang kanak-kanak lelaki ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Masjid, Kuala Baram, di sini, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), berkata mayat Muhd Ikram Abdullah, 12, ditemui di bawah timbunan zink sejurus kebakaran dapat dikawal oleh anggota bomba.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 4.59 petang, sebelum sepasukan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng serta BBP Miri dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba, anggota bomba mendapati berlaku kebakaran rumah jenis separuh kekal dengan struktur binaan kayu pada dinding serta lantai dan bumbung zink serta api memusnahkan keseluruhan rumah itu.

"Seorang lelaki warga emas, Saban Mangkir, 60, turut cedera apabila melecur kira-kira 30 peratus di bahagian belakang badan dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu.

"Enam lagi penghuni rumah itu berusia antara lima tahun hingga 50-an iaitu tiga lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak perempuan terselamat," katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala mayat kanak-kanak yang rentung diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Berita Harian X