Selasa, 12 April 2022 | 6:39pm
Antara lori yang ditahan kerana membawa muatan petrol tanpa permit di Lahad Datu. - Foto ihsan PGA
Antara lori yang ditahan kerana membawa muatan petrol tanpa permit di Lahad Datu. - Foto ihsan PGA

Enam ditahan bersama 3 lori muatan 60,000 liter petrol

LAHAD DATU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan enam lelaki dan merampas 60,000 liter petrol serta tiga lori bernilai keseluruhan RM534,144, semalam.

Dalam operasi di Kampung Bangkarat, Tungku, di sini, jam 11.30 pagi itu, semua petrol dibawa tanpa permit sah dan dipercayai cuba diseludup.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, kegiatan berkenaan dikesan ketika pihaknya menjalankan tugas rondaan Op Cegah Pati (OCP) di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan, semua suspek berusia 23 hingga 54 tahun gagal mempamerkan permit sah untuk mengendalikan petrol berkenaan.

"Semua suspek termasuk seorang warga Filipina terus ditahan bersama tiga lori dan sebuah pacuan empat roda.

"Turut dirampas, tiga gulung hos minyak, satu gulung tali kapal dan lapan gelen tong minyak diesel," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, nilai petrol yang dirampas RM123,000 dan jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan adalah RM534,144.

"Semua suspek kini ditahan di Balai Polis Tungku dan akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama barang rampasan.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Berita Harian X