Selasa, 12 April 2022 | 5:30pm
Pasukan bomba tiba di pekarangan SMA Nurul Islam di Ayer Hitam untuk membersihkan sisa bahan kimia yang tumpah menyebabkan 61 pelajar terhidu bahan kimia. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Pasukan bomba tiba di pekarangan SMA Nurul Islam di Ayer Hitam untuk membersihkan sisa bahan kimia yang tumpah menyebabkan 61 pelajar terhidu bahan kimia. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli

61 pelajar dikejarkan ke hospital terhidu asid sulfurik

KUBANG PASU: Seramai 61 pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Nurul Islam, Ayer Hitam, di sini, terpaksa dikejarkan ke hospital selepas terhidu bahan kimia dipercayai asid sulfurik yang tumpah selepas tong penyimpanannya pecah.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari tadi, semua pelajar terdiri sembilan lelaki dan 52 perempuan berusia 14 hingga 17 tahun itu sedang belajar di dalam kelas masing-masing sebelum terhidu bahan kimia berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata berikutan itu pelajar terbabit mengalami simptom seperti sakit tekak dan kepala serta loya.

Katanya, pihak sekolah kemudian menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan dan pihak hospital untuk merawat pelajar yang mengalami simptom.

"Siasatan awal mendapati, terdapat tong asid sulfurik disimpan bagi kegunaan pembelajaran di makmal sains sekolah itu.

"Bagaimanapun, tong berkenaan pecah menyebabkan cecairnya tumpah ketika kerja pemindahan dilakukan kontraktor yang dilantik menyebabkan berlaku tindak balas dan pencemaran.

"Keadaan adalah terkawal dan tidak berlaku sebarang letupan, kecuali kesan pencemaran masuk ke kelas menyebabkan pelajar mengalami simptom," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, hari ini.

Rodzi berkata, semua 41 pelajar itu dihantar ke Hospital Jitra (HJ), manakala enam pelajar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan empat pelajar ke Klinik Kesihatan Ayer Hitam untuk rawatan lanjut.

"Semua mereka dirawat sebagai pesakit luar dan tiada kes serius dilaporkan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 12.20 tengah hari.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra tiba di SMA Nurul Islam untuk mencuci sisa bahan kimia berkenaan.

"Kita turut memastikan pengudaraan di lokasi adalah selamat sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya jam 2.45 petang tadi," katanya.

Berita Harian X