Isnin, 11 April 2022 | 6:36pm

ADUN Kelantan rugi RM84,529 kena scam

KOTA BHARU: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kelantan kerugian RM84,529 selepas diperdaya oleh sindiket Macau Scam, kelmarin.

Mangsa berusia 56 tahun hanya menyedari ditipu pagi semalam sebaik hadir ke Bank Islam dan Bank Muamalat untuk menyemak baki akaun, selain membuat kad bank yang baharu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kelantan, Asisten Komisioner Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa siasatan awal mendapati mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dimaklumkan terdapat cukai tunggakan berjumlah RM52,900.

Beliau berkata, suspek mendakwa cukai itu terkumpul disebabkan kemasukan wang tunai RM200,000 kepada akaun syarikat yang dikatakan milik mangsa, namun perkara itu dinafikan oleh ADUN berkenaan.

"Susulan itu, suspek meminta mangsa membuat laporan polis sebelum talian di sambung ke 'Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka'.

"ADUN itu kemudian diminta mengesahkan segala pemindahan wang terbabit adalah tidak benar dan selepas itu talian disambung pula kepada seorang wanita kononnya pegawai dari JSJK Melaka bergelar Datuk.

"Ketika perbualan berlangsung, mangsa diminta membuat pengesahan akaun miliknya dengan mengisi pautan bank negara yang diberikan melalui aplikasi WhatsApp," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mohd Wazir berkata, pada jam 10.30 pagi semalam mangsa hadir ke Bank Islam untuk menyemak baki akaun dan membuat kad bank baharu sebelum dimaklumkan baki akaun bank miliknya berkurangan sebanyak RM71,480.

"Mangsa kemudian ke Bank Muamalat untuk membuat kad bank yang baru dan dimaklumkan baki akaun bank miliknya berkurangan sebanyak RM13,049 menerusi dua transaksi pengeluaran.

"Jumlah kerugian keseluruhan yang dialami mangsa sebanyak RM84,529 dan mangsa membuat laporan di IPD Kota Bharu tengah hari tadi," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut, termasuk mengesan suspek sedang dilakukan.

Berita Harian X