Isnin, 11 April 2022 | 11:17am
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Klang, Selangor pada Khamis lalu. - Foto KPDNHEP
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Klang, Selangor pada Khamis lalu. - Foto KPDNHEP

Aktiviti seleweng diesel stesen minyak di Klang tumpas

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 74,862.50 di sebuah stesen minyak di Klang, Selangor pada Khamis lalu.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam, berkata serbuan yang dijalankan pada jam 10 malam oleh sepasukan anggota Penguat Kuasa dari KPDNHEP Putrajaya itu hasil risikan yang dilakukan sejak beberapa minggu.

Katanya, ketika serbuan terdapat lori tangki sedang mengisi minyak diesel ke dalam tangki simpanan di stesen minyak berkenaan.

"Ketika serbuan pemandu lori terbabit baru membuat pengisian minyak berjumlah RM250 dan hasil pemeriksaan mendapati pemandu lori itu membuat bayaran berjumlah RM1,000 bagi pengisian secara tunai," katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

Hasil pemeriksaan juga mendapati dua bahagian tangki simpanan lori berkenaan mengandungi minyak diesel dianggarkan berjumlah 5,000 liter.

KPDNHEP turut menyita minyak diesel, lori tangki, satu set dekoder kamera litar tertutup (CCTV), invois, resit jualan serta belian berserta dokumen perniagaan yang lain dari stesen minyak berkenaan untuk tujuan siasatan.

Azman berkata, pihaknya turut menahan pemandu lori lelaki warga tempatan berusia 60 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya, kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti rantaian pengedaran minyak diesel itu bermula daripada stesen minyak berkenaan sehinggalah ke peringkat pembeli.

"Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan dan keputusan kes dimuktamadkan," katanya.

Berita Harian X