Sabtu, 9 April 2022 | 2:28pm
Operasi bersepadu di LDP Kelana Jaya, tengah malam hingga awal pagi tadi. - NSTP/Aizuddin Saad
Operasi bersepadu di LDP Kelana Jaya, tengah malam hingga awal pagi tadi. - NSTP/Aizuddin Saad

Ribuan kenderaan diperiksa operasi besar-besaran di PJ

KUALA LUMPUR: Ribuan kenderaan diperiksa dalam operasi bersepadu dan sekatan jalan raya (SJR) secara besar-besaran di enam lokasi membabitkan enam laluan utama sekitar daerah Petaling Jaya (PJ), dekat sini, tengah malam tadi.

Operasi bermula jam 12 tengah malam itu bertujuan menunjukkan keberadaan polis, dalam usaha mengurangkan kadar jenayah dan pelanggaran undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat.

Ia susulan negara kini memasuki fasa peralihan ke endemik yang memberi kebebasan kepada orang ramai untuk menjalankan pelbagai aktiviti, namun peluang itu turut diambil kesempatan oleh segelintir pihak bagi melakukan kegiatan jenayah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata enam SJR diadakan di Lebuh Raya Damansara - Puchong (LDP) Kelana Jaya; lorong motosikal PJS 2; Jalan SS2/55 Sea Park; Jalan Kilang Kontena, Sungai Way; Persiaran Surian, Damansara; dan Jalan PJU 10/1 susur masuk ke Damansara Damai.

"Melalui SJR berkenaan, kita melaksanakan Op Cantas Khas bertujuan mengesan penjenayah dan individu yang berada dalam senarai penjenayah dikehendaki, Op Lejang untuk mengesan kenderaan curi, serta Op Mabuk bagi mengesan individu memandu bawah pengaruh alkohol.

"Selain itu, kita turut mengeluarkan saman terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan seperti tiada lesen memandu dan cukai jalan serta lesen dan cukai jalan tamat tempoh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di SJR LDP Kelana Jaya, tengah malam tadi.

Mohamad Fakhrudin mengadakan sidang media pada operasi bersepadu di LDP Kelana Jaya. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Mohamad Fakhrudin mengadakan sidang media pada operasi bersepadu di LDP Kelana Jaya. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Operasi bersepadu di LDP Kelana Jaya, tengah malam hingga awal pagi tadi. - NSTP/Aizuddin Saad
Operasi bersepadu di LDP Kelana Jaya, tengah malam hingga awal pagi tadi. - NSTP/Aizuddin Saad

Operasi bersepadu bermula jam 12 tengah malam tadi bertujuan menunjukkan keberadaan polis, dalam usaha mengurangkan kadar jenayah dan pelanggaran undang-undang. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Operasi bersepadu bermula jam 12 tengah malam tadi bertujuan menunjukkan keberadaan polis, dalam usaha mengurangkan kadar jenayah dan pelanggaran undang-undang. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Seramai 150 anggota serta pegawai daripada pelbagai elemen Polis Daerah Petaling Jaya terbabit operasi bersepadu dan SJR itu yang berakhir jam 2 pagi tadi, dengan turut disertai anggota dan pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Hasil operasi berkenaan, Mohamad Fakhrudin berkata, sebanyak 307 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Di samping itu, beliau berkata, empat lelaki ditahan kerana dikesan memandu ketika paras alkohol dalam tubuh melebihi paras dibenarkan.

"Menerusi SJR dan Op Cantas Khas, kita juga berjaya menahan 16 individu disyaki terbabit kegiatan jenayah, termasuk seorang penjenayah dikehendaki berkaitan kes curi serta seorang suspek kes curi motosikal.

"Kita juga menahan tiga suspek disyaki dalang kes pecah cermin kereta membabitkan seorang lelaki warga Indonesia, hasil tangkapan di Kota Damansara.

"Dalam tangkapan berasingan, seorang lelaki tempatan bersama seorang wanita warga Vietnam ditahan berkait kes sama," katanya.

Selain itu, seorang lelaki turut ditahan di Damansara bersama 20 biji pil dadah jenis Erimin 5, manakala di Sungai Buloh, anggota Bahagian Risikan/Operasi/Rekod (D4) Bahagian Siasatan Jenayah berjaya menumpaskan sebuah kumpulan disyaki dalang jenayah curi kenderaan.

Tangkapan membabitkan lapan warga tempatan, termasuk seorang wanita, serta seorang lelaki warga Bangladesh.

Operasi bersepadu di LDP Kelana Jaya, tengah malam hingga awal pagi tadi. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Operasi bersepadu di LDP Kelana Jaya, tengah malam hingga awal pagi tadi. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Dalam pada itu, Mohamad Fakhrudin berkata, polis turut menyerbu sebuah pusat hiburan di Sea Park kerana melanggar Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan, sekali gus menahan seorang penjaga premis, manakala 23 pelanggan dikompaun kerana melanggar SOP PPN Fasa Empat.

Mengulas mengenai jenayah curi kenderaan pula, Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya mengesan berlaku peningkatan kes pada tahun ini dengan setakat akhir Mac lalu, sebanyak 102 kes curi kenderaan dilapor membabitkan motosikal (74), kereta (24) dan lori (empat).

"Menerusi SJR dan operasi bersepadu sebegini, kita menyasar untuk mengesan pelaku serta kenderaan yang dicuri itu, selain mengurangkan risiko berlaku kecurian. Justeru, operasi sebegini akan diadakan secara berterusan," katanya.

Berita Harian X