X
Selasa, 5 April 2022 | 5:48pm
Tular di media sosial memaparkan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura mengisi petrol RON95 bersubsidi di sebuah stesen minyak di Johor. - FOTO VIRAL MEDIA SOSIAL
Tular di media sosial memaparkan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura mengisi petrol RON95 bersubsidi di sebuah stesen minyak di Johor. - FOTO VIRAL MEDIA SOSIAL

2 stesen di Johor minyak disiasat jual RON95 kepada kenderaan asing

PUTRAJAYA: Dua stesen minyak di Johor Bahru disiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) susulan penjualan petrol bersubsidi kepada kenderaan asing dari negara jiran.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, siasatan dilakukan susulan lima aduan diterima pihaknya berhubung isu sama yang berlaku di Johor selepas pembukaan sempadan negara bermula 1 April lalu.

"Setakat ini, kita sudah kenal pasti dua stesen minyak yang terbabit dalam kes ini yang mana siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1971 sedang dijalankan di peringkat akhir.

"Siasatan juga sedang dilakukan untuk mengenal pasti stesen minyak yang terbabit dalam tiga lagi aduan berhubung kes sama yang diterima," katanya ketika sesi temubual khas, di sini, petang ini.

Beliau ketika ditanya bagaimanapun tidak mendedahkan identiti serta lokasi sebenar syarikat yang terbabit, namun memberi amaran kepada stesen minyak supaya tidak membenarkan kenderaan dari negara jiran membeli bahan bakar bersubsidi.

Sebelum ini tular di media sosial foto seorang lelaki dipercayai warga asing mengisi RON95 pada kenderaannya yang mempunyai nombor pendaftaran Singapura.

Kes berkenaan mendapat perhatian serius Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang kemudiannya mengarahkan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP menjalankan siasatan serta-merta.

Azman berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyeleweng subsidi dan sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang.

"KPDNHEP bagaimanapun berterima kasih kepada pengguna yang menyalurkan maklumat berkenaan kes terbabit kerana ia membabitkan isu subsidi dan sekiranya banyak digunakan warga asing mungkin akan menjejaskan kuantiti bekalan," katanya.

Mengulas pemantauan terhadap stesen minyak membabitkan pengisian petrol bersubsidi oleh kereta berpendaftaran negara asing, katanya ketetapan itu sudah dikuatkuasakan sejak 2018 lagi.

Katanya, sebanyak 281 stesen minyak yang berada dalam lingkungan 25 kilometer dari sempadan dua negara iaitu Thailand dan Singapura terbabit dalam penguatkuasaan ini dan pada 2020, kerajaan menambah baik dengan melarang motosikal dengan nombor pendaftaran asing mengisi minyak RON 95.

Malah, beliau berkata, KPDNHEP juga memperkenalkan pelekat dan amaran yang diletakkan di stesen minyak bagi melarang kenderaan berpendaftaran negara asing mengisi RON 95.

"Pegawai penguat kuasa juga mengadakan lawatan mengejut melalui Skuad Rondaan Khas bagi memantau stesen minyak di sempadan dan program ini akan diteruskan secara berkala dengan lebih ketat lagi," katanya.

Berita Harian X