Selasa, 5 April 2022 | 1:25pm

Guru mangsa 'Love Scam' rugi RM42,000

MELAKA: Perkenalan singkat guru wanita dengan seorang lelaki di Facebook (FB) yang mengumpan barang mewah membawa padah apabila kerugian RM42,000 selepas diperdaya sindiket 'Love Scam', awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan, berkata berdasarkan laporan guru berusia 27 tahun itu memaklumkan dia mula berkenalan dengan suspek dikenali Albert A Adams melalui FB pada 3 Mac lalu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa memberitahu hubungan mereka semakin erat dan kerap berhubung melalui aplikasi WhatsApp dengan suspek memujuknya berjanji memberi pelbagai hadiah berupa barangan mewah serta mata wang asing.

"Sepanjang tempoh perkenalan, suspek kerap memberitahu ingin menghadiahkan mangsa barangan berupa kasut jenama Dior, iPad Pro, kasut Adidas, barangan kemas, pakaian dan wang tunai AS$3,000 (RM12,631).

"Pada 29 Mac lalu, suspek beritahu semua barangan itu sudah dihantar ke alamat rumah mangsa.

"Mangsa yang teruja mengesahkan memang ada barangan tiba di Kuala Lumpur selepas membuat semakan melalui satu laman web syarikat penghantaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sundra Rajan berkata, bagaimanapun barangan terbabit ditahan oleh pihak kastam kerana mempunyai wang tunai yang banyak dan tiada sijil pengesahan.

"Mangsa kemudian diminta suspek untuk membuat bayaran bagi melepaskan barangan itu dan tanpa prasangka guru wanita itu mengikut arahan dengan membayar RM42,000 secara berperingkat.

"Bayaran itu dibuat atas pelbagai alasan seperti bayaran pengesahan sijil barangan, peguam, barangan kemas, pengesahan alamat penghantaran, bayaran tambahan dan cek kelewatan pembayaran.

"Selepas pembayaran, suspek menjanjikan barangan itu akan sampai di alamat rumah pengadu 1 April lalu, namun sehingga kini barangan itu tidak diterima.

"Suspek pula terus meminta membuat bayaran RM5,000 lagi kononnya untuk kos penghantaran, sebelum mangsa menyedari ditipu dan membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah pada 2 April lalu," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati mencari kenalan melalui laman sosial dan membuat semakan nombor telefon suspek melalui laman web http:ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat naik aplikasi Semak Mule memalui Playstore," katanya.

Berita Harian X