Jumaat, 1 April 2022 | 10:37pm
Lelaki warga Indonesia bersama lori dipandunya yang membawa muatan tong berisi diesel dan petrol tanpa kelulusan sah. - FOTO IHSAN PGA
Lelaki warga Indonesia bersama lori dipandunya yang membawa muatan tong berisi diesel dan petrol tanpa kelulusan sah. - FOTO IHSAN PGA

KPDNHEP rampas lori bawa petrol, diesel tanpa kelulusan sah

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Indonesia ditahan bersama lori dipandunya yang membawa muatan petrol dan diesel tanpa kelulusan sah dengan nilai keseluruhan RM160,550, hari ini.

Suspek, 27, ditahan pegawai dan anggota Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran ketika melalui Pusat Pemeriksaan Darat (RCP) Sapi Nangoh, Beluran, kira-kira jam 9 pagi.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, hasil pemeriksaan mendapati lori dari arah Sandakan menuju Tongod itu membawa 43 tong biru.

"Selepas menjalankan pemeriksaan, didapati 25 tong berisi petrol dan diesel, manakala 18 lagi kosong.

"Selepas semakan dibuat, lori berkenaan didapati membawa bahan api bersubsidi melebihi had dibenarkan iaitu 5,000 liter," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, suspek bersama lori dan bahan api bersubsidi dirampas kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Peraturan Kawalan Bekalan 1974 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Berita Harian X