Khamis, 31 March 2022 | 10:07pm

Ops Goreng kesan 401 kes penyelewengan, ketirisan minyak masak

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan 401 kes melalui Ops Goreng yang dijalankan untuk menangani isu penyelewengan dan ketirisan minyak masak sepanjang tempoh empat tahun lalu.

Melalui operasi bertujuan memantau syarikat pembungkus, pemborong dan peruncit minyak masak di bawah Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) itu, rampasan dengan nilai keseluruhan RM15.57 juta direkodkan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, semua kes adalah hasil tindakan penguatkuasaan terhadap pelbagai peringkat rantaian pengedaran termasuk pengilang, pemborong dan peruncit yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Katanya, sembilan kertas siasatan turut dibuka di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) membabitkan pembekuan ke atas aset syarikat berkaitan minyak masak yang diambil tindakan berjumlah RM1.79 juta.

"Kementerian turut mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen berkaitan barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, serta penggantungan kuota minyak masak bersubsidi oleh syarikat yang terbabit sehingga siasatan selesai dijalankan dan keputusan kes dimuktamadkan.

"Berdasarkan statistik sehingga Februari lalu, sebanyak 27 syarikat sudah digantung atau dibatalkan lesen mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Susulan pembukaan sempadan negara bermula esok pula, Alexander berkata KPDNHEP akan mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan di pintu masuk sempadan dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Imigresen untuk memastikan isu berkaitan ketirisan barang kawalan termasuk minyak masak bersubsidi dibanteras sepenuhnya.

Pada masa sama, beliau menyarankan masyarakat menjadi 'mata dan telinga' kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi terutama minyak masak bagi memastikan aktiviti haram itu dapat dibanteras hingga ke akar umbi.

Katanya, KPDNHEP sentiasa komited memastikan isu penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam negara dapat diatasi dengan lebih tegas dan efektif.

"Tindakan pemeriksaan dan pemantauan lebih menyeluruh sentiasa dilakukan termasuk ke atas semua syarikat pembungkusan minyak masak dan kilang penapis minyak masak bawah COSS," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh mengemukakan aduan lengkap kepada KPDNHEP melalui saluran aduan seperti aplikasi WhatsApp di talian 019-279 4317, portal aduan, e-aduan.kpdnhep.gov.my, Call Centre 1-800-886-800, emele-aduan@kpdnhep.gov.my dan Ez ADU KPDNHEP.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Berita Harian X