Khamis, 31 March 2022 | 9:17am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Ejen hartanah rugi lebih RM20,000 pelaburan tidak wujud

KUANTAN: Seorang ejen hartanah kerugian RM20,011 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan saham yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada 22 Mac lalu lelaki berusia 44 tahun itu menerima tawaran pelaburan saham daripada seorang wanita menerusi aplikasi Telegram.

Beliau berkata, disebabkan terlalu tertarik dengan keuntungan yang bakal diraih, mangsa bersetuju untuk membuat pelaburan berkenaan tanpa memikirkan sebarang risiko bakal dihadapi.

"Mangsa melakukan sebanyak enam transaksi sebanyak RM20,011 ke dalam akaun bank yang diberikan suspek.

"Namun selepas mangsa memasukkan wang dia tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan dan mangsa menyedari sudah ditipu dan membuat laporan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Mohd Wazir berkata, seorang peniaga wanita pula kerugian RM17,032 selepas terpedaya dengan tawaran pinjaman tidak wujud.

Mohd Wazir, mangsa berusia 30 tahun menerima pesanan melalui aplikasi WhatApps bagi urusan pinjaman wang dan mangsa berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM8,000.

"Mangsa yang menetap perumahan di Seberang Balok, di sini diminta untuk memasukkan wang bagi meluluskan pinjaman yang disediakan.

"Mangsa kemudian melakukan 30 transaksi berjumlah RM17,032 ke dalam beberapa akaun bank yang ditetapkan suspek namun selepas mangsa masukkan wang mangsa tidak menerima wang pinjaman seperti yang dijanjikan," katanya.

Katanya, mangsa kemudian bertindak membuat laporan di IPD Kuantan semalam.

"Dua kes penipuan ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun," katanya.

Mohd Wazir berkata, IPD Kuantan semalam juga menerima laporan lima kes Macau Scam yang menyebabkan kerugian lebih RM30,348.

"Saya ingin menasihatkan kepada masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai tawaran daripada sindiket Macau Scam yang semakin aktif mencari mangsa.

"Pelbagai kaedah yang digunakan saspek untuk memperdayakan mangsa, justeru jangan cuba melayan mereka," katanya.

Berita Harian X