Isnin, 28 March 2022 | 2:44pm
Seorang lelaki dewasa maut dalam kebakaran kereta di Jalan Prisma 1, Taman Prisma, Iskandar Puteri di sini, malam tadi. NSTP/Ihsan Bomba
Seorang lelaki dewasa maut dalam kebakaran kereta di Jalan Prisma 1, Taman Prisma, Iskandar Puteri di sini, malam tadi. NSTP/Ihsan Bomba

Lelaki rentung dalam kebakaran kereta

ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki dewasa ditemukan rentung dalam kereta yang terbakar di tepi jalan di luar Perumahan Iskandar Malaysia (PRISMA) pada tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 12.03 tengah malam.

Beliau berkata, mengikut maklumat awal, seorang lelaki didakwa terperangkap di dalam kereta yang terbakar di kawasan perumahan itu.

Katanya, saksi mendapati kereta itu berhenti di lokasi kejadian dalam keadaan enjin hidup, lampu menyala dan terbakar.

Siasatan di tempat kejadian, katanya, mendapati seorang lelaki rentung di dalam kereta dan tiada pengenalan diri mangsa diperoleh.

"Polis tidak menemui sebarang butiran mahupun barang berharga di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dikeluarkan dari kereta oleh Anggota Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan bantuan anggota Bomba serta diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut atau SDR.

"Mayat mangsa yang dalam keadaan rentung termasuk tangan dan jari terputus dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor (HSA) untuk dibedah siasat. Waris dan keluarga mangsa masih dikesan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, sepasukan tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 11.56 malam.

Beliau berkata, setiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati kebakaran membabitkan sebuah kereta yang musnah kira-kira 50 peratus.

Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

"Operasi diketuai oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Khairi Zainuddin ditamatkan pada jam 2 pagi tadi," katanya.

Berita Harian X