Isnin, 28 March 2022 | 1:11pm

Kes Isma Halil disebut semula 28 April

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, menetapkan 28 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes penyampai radio, Isma Halil atas pertuduhan mengedar dadah pada tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas pendakwaan memaklumkan terdapat beberapa lagi dokumen berkaitan kes itu belum diserahkan kepada pihak pembelaan.

Terdahulu, ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baharu untuk serahan dokumen.

Peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar kemudian mencadangkan mana-mana dokumen yang ada diserahkan dulu kepada pihaknya.

Pada 21 Februari lalu, Isma, 49, membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, atas pertuduhan mengedar dadah selepas pengakuan direkodkan buat kali pertama.

Mengikut pertuduhan, Isma didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, di sini, pada jam 5.35 petang 27 Ogos tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Majistret, di sini, membenarkan kes Isma dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Ia selepas peguam Adi Zulkarnain Zulkafli ketika itu memaklumkan laporan kimia sudah diperoleh dengan berat dadah itu turun dari 409 gram seperti dalam pertuduhan kepada 374.6 gram.

 Gambar hiasan
Gambar hiasan
Berita Harian X