Jumaat, 25 March 2022 | 2:48pm

6 termasuk 4 lelaki Nigeria dalang penipuan 'love scam' ditahan

MELAKA: Empat lelaki warga Nigeria, antara enam ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan membabitkan 'love scam' dan 'parcel scam' selain pengedaran dadah.

Semua suspek berusia antara 23 hingga 44 tahun itu ditahan dalam serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri di tiga unit pangsapuri di Taman Bukit Beruang, selain sebuah rumah di Taman Bukit Melaka di Ayer Keroh, di sini, semalam.

Berdasarkan maklumat, empat lelaki warga asing itu menggunakan helah kononnya bertugas sebagai profesor di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negeri ini, untuk mengelak kegiatan mereka dikesan.

Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Razali Abu Samah berkata, pihaknya menemui pelbagai barangan yang disyaki digunakan untuk tujuan penipuan dalam serbuan antara jam 5 hingga 10 pagi itu.

Beliau berkata, antaranya termasuklah satu buku mengandungi skrip atau tatacara perbualan untuk menipu mangsa.

Berdasarkan barang kes dirampas itu, katanya pihaknya percaya sindiket ini menjalankan aktiviti penipuan 'love scam' dan 'parcel scam' terhadap rakyat Malaysia sejak enam bulan lalu.

"Bukti kegiatan penipuan ini jelas dengan penemuan skrip yang digunakan untuk tujuan perbualan dan meyakinkan mangsa, serta foto samaran yang ditemui dalam komputer riba yang dirampas.

"Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti mangsa berdasarkan rekod perbualan dalam telefon bimbit dirampas," katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Polis ke 215 di IPK negeri hari ini..

Razali berkata, melalui serbuan sama juga pihaknya merampas pelbagai barangan dikaitkan dengan penagihan dadah seperti botol yang digunakan untuk menagih bahan terlarang itu, satu paket ketamin seberat 2.6 gram, tujuh paket ganja (34.73 gram) dan satu ketulan mampat ganja (600 gram).

"Nilai keseluruhan dadah dirampas dianggarkan RM5,000 dan siasatan awal mendapati ia untuk kegunaan sendiri dan diedarkan kepada pelajar IPTS di sekitar Ayer Keroh.

"Kita turut merampas dua pemacu pena, enam komputer riba, 12 telefon bimbit, lima modem, mesin pencetak, tujuh dokumen dan tiga sijil disyaki palsu dalam serbuan sama," katanya.

Sementara itu, beliau mengesahkan tiga daripada suspek termasuk dua wanita disahkan positif dadah jenis ganja hasil ujian air kencing, manakala tiga lagi negatif.

"Semua suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, selain Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan," katanya.

Razali (kiri) menunjukkan foto suspek yang disyaki terbabit kegiatan penipuan ‘love scam’ dan ‘parcel scam’ yang ditahan di Melaka. - FOTO NSTP/ SYAFEEQ AHMAD
Razali (kiri) menunjukkan foto suspek yang disyaki terbabit kegiatan penipuan ‘love scam’ dan ‘parcel scam’ yang ditahan di Melaka. - FOTO NSTP/ SYAFEEQ AHMAD
Berita Harian X