Jumaat, 25 March 2022 | 2:29pm

Hentakan di kepala punca kematian kanak-kanak 11 tahun

KUANTAN: Punca kematian kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin di sini, adalah disebabkan hentakan di kepala.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, berkata ia berdasarkan hasil laporan bedah siasat mangsa dan polis masih melengkapkan kertas siasatan berhubung kes membabitkan suspek remaja berusia 16 tahun.

Beliau berkata, suspek sehingga kini masih ditahan reman sehingga 27 Mac ini.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan kematian mangsa bukan disebabkan dicekik atau sebagainya seperti dilaporkan sebelum ini tetapi dihentak di kepala.

"Saya tidak boleh mengulas lanjut kerana kes ini membabitkan kanak-kanak," katanya selepas majlis perbarisan sempena Peringatan Hari Polis ke-215 Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

Pada 20 Mac lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia dipercayai akibat dibelasah pelajar senior di bangunan surau asrama antara jam 3.45 hingga 4.15 petang,

Mangsa dipercayai disepak, dicekik dan dihempas ke lantai oleh suspek sehingga tidak sedarkan diri, sebelum disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan.

Kejadian disedari penyelia asrama yang juga pengadu berusia 35 tahun selepas mangsa yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dibawa tiga penghuni lain, termasuk suspek.

Dalam perkembangan lain, Ramli berkata siasatan kes pembunuhan membabitkan pengamal perubatan yang ditemui maut disyaki ditembak dalam sebuah rumah berhampiran Bukit Rangin Perdana 2, pada 4 April tahun lalu masih diteruskan.

"Tiada petunjuk baharu setakat ini dan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk berkongsi dengan polis diminta tampil berbuat demikian," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, Mohamad Abdul Rahim ditemui maut dengan kesan tembakan dalam keadaan berpakaian serba kuning dengan kesan darah kering.

Ramli menyampaikan sijil penghargaan sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 Kontinjen Pahang di IPK Pahang, Kuantan di sini, hari ini. - Foto NSTP/Asrol Awang
Ramli menyampaikan sijil penghargaan sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 Kontinjen Pahang di IPK Pahang, Kuantan di sini, hari ini. - Foto NSTP/Asrol Awang
Berita Harian X