Khamis, 24 March 2022 | 6:14pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Bekas timbalan pengarah kanan DBKL diperintah bela diri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh, membela diri atas dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen di sini pada 18 Disember 2020, yang melepas dan membebaskan Sabudin daripada dua pertuduhan berkenaan.

"Rayuan dibenarkan, keputusan Mahkamah Sesyen diketepikan dan kes ini dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk responden (Sabudin) membela diri," katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Natrah Fareha Rahmat dan Mohd Shahrom Idris manakala peguam K Theivaendran mewakili Sabudin.

Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Sabudin daripada pertuduhan terbabit di akhir kes pendakwaan.

Enam saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Sabudin, 60, yang ketika itu Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL, didakwa memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM200,000 daripada Wong May Kuan.

May Kuan ialah subkontraktor kepada Dusari Niaga yang melaksanakan 'Cadangan Kerja-kerja Pengisaran dan Penurapan Semula Jalan bagi Bekas Lubang Gali Syarikat Utiliti Di Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Bagi Tahun 2018/2020 (2017/A214)' sebagai upah mengeluarkan permit kerja kepada Dusari Niaga.

Sabudin didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di dalam kedai serbaneka di sebuah stesen minyak, Jalan Lingkaran Tengah 2, Bukit Antarabangsa di sini, dan di hadapan kediamannya di Ukay Perdana, Ampang, masing-masing pada 9 Jun 2018 dan 17 Januari 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Berita Harian X