Rabu, 23 March 2022 | 9:57am
Kebakaran berlaku di tingkat satu IPD Sepang, petang semalam. -Foto NSTP/Ihsan pembaca
Kebakaran berlaku di tingkat satu IPD Sepang, petang semalam. -Foto NSTP/Ihsan pembaca

Tiada unsur khianat, jenayah dalam kebakaran di IPD Sepang

SEPANG: Kebakaran di tingkat satu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang membabitkan pejabat Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan pejabat Pegawai Penyiasat Kanan (S.I.O) semalam, tiada unsur khianat dan jenayah.

Ketua Polis Daerah Sepang, Penolong Pesuruhjaya Polis Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata perkara berkenaan disahkan Bahagian Siasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor yang diketuai Penguasa Kanan II Azlan Rahmat yang selesai melakukan siasatan di lokasi sehingga jam10.30 malam, semalam.

Kejadian kebakaran di tingkat satu IPD Sepang dilaporkan berlaku pada kira-kira 6 petang semalam, sebelum berjaya dipadamkan pihak bomba 40 minit kemudian. Insiden kebakaran itu turut tular di media sosial.

Menurutnya, kebakaran disyaki berpunca dari pejabat pentadbiran BSJ dan seterusnya merebak ke pejabat bersebelahan iaitu pejabat S.I.O serta bilik mesyuarat BSJ.

"Tiada kertas siasatan yang terbakar," kata Wan Kamarul Azran ketika dihubungi, hari ini.

Siasatan kebakaran di IPD Sepang itu turut disertai 21 anggota dan unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor yang berada lokasi sejak 8.30 malam.

Wan Kamarul Azran berkata, pemeriksaan awal mendapati hampir keseluruhan pejabat di BSJ mengalami kerosakan akibat kebakaran itu.

Kerosakan lain yang dikenal pasti adalah seperti gangguan talian Internet kerana kabel fiber optik turut terbakar, katanya.

– BERNAMA

Berita Harian X