Isnin, 21 March 2022 | 11:36am
Penderaan fizikal meningkat ketika wabak COVID-19. - Foto hiasan NSTP
Penderaan fizikal meningkat ketika wabak COVID-19. - Foto hiasan NSTP

Lebih 600 kes penderaan fizikal sejak pandemik

SHAH ALAM: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor mencatatkan 1,910 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak di antara Mac 2020 hingga Mac tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman, berkata ada 686 kes penderaan fizikal, manakala penderaan seksual sebanyak 606 kes.

"Penderaan dari segi emosi pula sebanyak 63 kes dan pengabaian kanak-kanak pula sebanyak 555 kes," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Mazwan Johar (PH-Sungai Ramal) berhubung gejala sosial akibat pandemik COVID-19 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Katanya, berdasarkan statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), 4,633 membabitkan jenayah kekerasan dan 13,359 kes jenayah harta benda sepanjang pandemik bermula 2020 hingga tahun lalu.

"Menurut PDRM, antara jenayah kekerasan ialah rogol (364 kes), bunuh (80 kes), samun berkawan tanpa bersenjata api (1,798), samun tanpa bersenjata api (1,233), mencederakan (1,156 kes).

"Antara jenayah harta benda pula membabitkan curi motosikal (4,123), curi sebanyak 4,122 kes juga pecah rumah 3,393 kes," katanya.

Beliau berkata, terdapat permintaan sesi kaunseling sepanjang tempoh pandemik COVID-19 terutama sesi secara atas talian membabitkan masalah kekeluargaan dan kesihatan mental.

"Berdasarkan analisis data dari Pusat Kaunseling Selangor, antara aduan yang diterima ialah keretakan hubungan suami isteri.

"Kedua, isu berkaitan kesihatan mental, psikologi abnormal (tekanan, kemurungan dan kebimbangan)," katanya.

Berita Harian X