Jumaat, 18 March 2022 | 5:23pm
Gambar hiasan. Orang ramai juga diingatkan menyemak nombor telefon atau nombor akaun meragukan di laman web http://ccid.rmp.my/semakmule bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. Orang ramai juga diingatkan menyemak nombor telefon atau nombor akaun meragukan di laman web http://ccid.rmp.my/semakmule bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. - Foto fail NSTP

Rugi lebih RM225,000 hanya dalam dua minggu

MELAKA: Seorang ibu tunggal kerugian RM225,900 hanya dalam masa dua minggu selepas terpedaya dengan penipuan cinta atau 'Love Scam', tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Superintendan E Sundra Rajan, berkata mangsa berusia 48 tahun dan bekerja sebagai pegawai sumber manusia di sebuah syarikat swasta di negeri ini.

Katanya, wanita itu berkenalan dengan suspek warga tempatan berusia awal 50-an menerusi Facebook sejak Oktober lalu dan menjadi semakin rapat hingga sering berhubungan melalui aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, bagi meyakinkan dan mengaburi mangsa, suspek berpura-pura menunjukkan bahawa dia memiliki wang yang banyak dengan meminta wanita itu menolongnya melakukan beberapa transaksi pemindahan wang bermula Disember hingga 14 Januari lalu.

"Sekitar Disember 2021 suspek meminta pengadu memindahkan wangnya daripada akaun West Business Finance berjumlah AS$42,000 (kira-kira RM176,442) ke akaun Bank Of China.

"Suspek memberikan maklumat akaun dan kata kunci yang berdaftar atas namanya kepada mangsa untuk melakukan transaksi pemindahan wang itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang mendakwa bekerja di luar negara itu kemudiannya meminta mangsa sekali lagi memindahkan wang dari akaun sama ke akaun Maybank milik ibu suspek berjumlah RM10,000 tetapi transaksi itu gagal.

"Ketika inilah suspek mula berhelah dengan meminta pengadu mendahulukan wang untuk dipindahkan ke akaun milik ibu suspek.

"Tanpa mengesyaki apa-apa dan percaya janji suspek bahawa mereka akan bertunang pada Januari lalu, mangsa memindahkan RM10,900 ke akaun diberikan suspek melalui dua transaksi bermula 2 hingga 3 Januari lalu," katanya.

Sundra Rajan berkata, kemuncaknya suspek meminta pengadu memindahkan wang dari akaun West Of Finance sebanyak RM2,500,000 ke sebuah akaun firma guaman, kononnya untuk membeli sebuah rumah di Setia Alam, Shah Alam, Selangor.

Bagaimanapun, katanya, transaksi itu gagal kerana pemindahan wang dalam jumlah tinggi perlu dikenakan bayaran kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

"Akibat diperdaya, wanita itu akur dan membuat bayaran itu menerusi lapan transaksi pemindahan wang keseluruhan berjumlah RM215,000 ke akaun diberikan suspek bemula 7 Januari hingga 14 Januari lalu.

"Mangsa menyedari ditipu selepas wang simpanannya berjumlah RM225,900 dipindahkan ke akaun tidak dikenali dan membuat laporan di Balai Polis Bandar Hilir pada 26 Februari lalu," katanya.

Sundra Rajan berkata, pihaknya masih mengesan suspek, dipercayai warga tempatan, yang juga duda beranak satu dan mendakwa mempunyai perniagaan di luar negara.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan apa juga tawaran mencurigakan di media sosial, yang mengarahkan mangsa membuat sebarang transaksi pembayaran.

Orang ramai juga diingatkan menyemak nombor telefon atau nombor akaun meragukan di laman web http://ccid.rmp.my/semakmule bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Berita Harian X