Rabu, 16 March 2022 | 7:40pm

Wanita dera anak kandung didakwa esok

TELUK INTAN: Wanita yang dipercayai mendera anak perempuannya hingga menyebabkan kematian dalam kejadian Mac lalu, akan didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan esok.

Wanita berusia 33 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mendapat arahan dari Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, wanita itu ditahan kerana dipercayai mendera hingga menyebabkan kematian anak perempuannya berusia setahun 11 bulan di sini, pada 9 Mac lalu.

Beliau berkata, suspek kemudian menyerah diri di Balai Polis Teluk Intan pada jam 5 petang, hari sama.

"Sebelum itu, pihaknya menerima laporan kematian mangsa dari seorang doktor bertugas di sebuah hospital swasta di Teluk Intan.

"Wanita berkenaan menghantar anak kandungnya untuk mendapatkan rawatan yang didakwa sesak nafas pada jam 2.30 pagi, 9 Mac lalu sebelum doktor mengesahkan kanak-kanak itu sudah tidak bernafas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, pemeriksaan awal doktor mendapati ada kesan luka di keliling hidung, dagu dan cuping telinga kanan selain luka di belakang telinga kiri serta luka di belakang kepala.

"Ada juga kesan luka besar pada lengan kanan dan kesan luka di jari kelingking serta telunjuk tangan kiri selain ada kesan luka koyakan pada celah jari telunjuk dan jari hantu kiri mangsa.

"Selain itu ada kesan gigitan berdekatan bahu lengan kiri, kesan parut sebelah kiri kaki, lebam di bawah lutut kiri, lebam di belikat kanan, dan ada beberapa lebam di seluruh belakang kanak-kanak berkenaan," katanya.

Beliau berkata, bedah siasat yang dilakukan di Bahagian Forensik Hospital Teluk Intan pada 10 Mac lalu, mendapati sebab kematian mangsa adalah kecederaan tumpul di bahagian dada.

Ahmad Adnan berkata, punca suspek mendera hingga menyebabkan kematian anak kandungnya itu adalah disebabkan tertekan kerana anaknya sering menangis dan tidak selesa dengan suspek.

Katanya, kanak-kanak itu dijaga pengasuh sejak Jun 2020 dan suspek mengambil semula anak ketiga daripada empat beradik itu untuk dijaga pada Jun 2021.

"Mangsa dikatakan sentiasa menangis dan tidak selesa dengannya menyebabkan wanita itu sering mendera mangsa. Suspek tidak bekerja dan suaminya nelayan," katanya.

Berita Harian X