Rabu, 16 March 2022 | 4:34pm

Video lama dera kanak-kanak, suspek sudah ditahan

GEORGETOWN: Polis mengesahkan video tular mengenai dua kanak-kanak yang didakwa didera seorang wanita di Taman Persiaran Minden Heights, Gelugor, di sini, adalah kejadian lama dan masih dalam siasatan pihak berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian pada Disember tahun lalu dan suspek wanita yang juga warga asing berusia 53 tahun itu kini ditahan di Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal.

Katanya, penahanan dilakukan pada 8 Disember tahun lalu, selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa suspek mendera anak di bawah jagaannya.

"Polis menerima laporan yang mendakwa empat kanak-kanak itu didera ketika di bawah jagaan suspek sebelum menahannya di sebuah rumah di Taman Persiaran Minden Heights, Gelugor, di sini, sehari selepas laporan dibuat.

"Suspek sudah direman selama enam hari dan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, pada hari ini, pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) sudah mengeluarkan arahan bagi menuduh suspek mengikut Akta Kanak-kanak 2021 dan perintah pendakwaan akan dipohon bagi menuduh suspek.

Katanya, polis akan berbincang dengan pucuk pimpinan mengenai tindakan lanjut yang boleh diambil terhadap pemilik akaun Twitter yang menularkan video berkenaan.

"Kita menafikan bahawa polis lambat mengambil tindakan selepas laporan dibuat sedangkan penahanan dilakukan sehari selepas menerima maklumat.

"Polis menasihati orang ramai supaya menyemak dahulu sumber yang diperoleh sebelum memuat naik ke media sosial kerana ia boleh menjejaskan imej beberapa pihak," katanya lagi.

Terdahulu, tiga video berkenaan kembali tular selepas ia dimuatnaik pengguna Twitter, Anne Faizuani yang mendakwa semua kejadian itu berlaku di sebuah pangsapuri di Gelugor, di sini.

Berdasarkan ciapan, wanita itu mendakwa video berkenaan dirakam anak tiri pengasuh terbabit berusia 11 tahun yang juga mangsa dera ibu tirinya.

Selain itu, Anne Faizuani turut meminta orang awam supaya menularkan video klip di ciapannya bagi mendapatkan pembelaan terhadap mangsa dera wanita itu.

"Korang, tolong viralkan video ni. Dah report polis, tapi tak jalan. Polis bagi alasan kata pengasuh ni mental. Sampai ada baby, tulang tangan retak. Kes dera makin berleluasa," tulisnya.

Tangkap layar video tular memaparkan wanita warga asing yang didakwa mendera kanak-kanak di bawah jagaannya di Taman Persiaran Minden Heights, Gelugor, di sini. - FOTO NSTP/VIDEO TULAR
Tangkap layar video tular memaparkan wanita warga asing yang didakwa mendera kanak-kanak di bawah jagaannya di Taman Persiaran Minden Heights, Gelugor, di sini. - FOTO NSTP/VIDEO TULAR
Berita Harian X