Ahad, 13 March 2022 | 11:00am

Pemandu lori pukul, pulas tangan anak tiri ditahan polis

SHAH ALAM: Pemandu lori yang dipercayai memukul anak tirinya yang berusia lima tahun di Taman Sri Muda dekat sini, sudah ditahan polis.

Suspek yang berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam Sabtu lalu, ketika menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, berdasarkan siasatan kejadian yang turut tular di media sosial itu dipercayai berlaku susulan tindakan kanak-kanak yang itu berbohong bahawa bapa tirinya itu memukulnya.

"Suspek yang marah kemudian menampar anak tirinya. Tiada sebarang kesan kecederaan dilihat pada kanak-kanak itu, namun mangsa sudah dirujuk kepada hospital untuk tindakan seterusnya," katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, suspek direman tiga hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Semalam, media melaporkan pemandu lori berkenaan diburu selepas satu rakaman video dirinya menampar serta memulas tangan kanak-kanak lelaki tular di media sosial.

Satu laporan polis turut dibuat ibu mangsa yang berusia berusia 25 tahun berhubung tindakan suaminya itu.

Berita Harian X