Sabtu, 12 March 2022 | 3:34pm
Wan Madihi (dua dari kiri) diberi penerangan mengenai kegiatan penagihan dadah ketika melawat pameran dalam bas AADK selepas merasmikan Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan peringkat negeri di Ayer Keroh hari ini. - FOTO BERNAMA
Wan Madihi (dua dari kiri) diberi penerangan mengenai kegiatan penagihan dadah ketika melawat pameran dalam bas AADK selepas merasmikan Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan peringkat negeri di Ayer Keroh hari ini. - FOTO BERNAMA

AADK tumpu 'penghijauan' 10 kawasan berisiko tinggi di Melaka

MELAKA: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka menumpukan usaha 'penghijauan' di 10 kawasan berisiko tinggi (KBT) yang dikenal pasti dalam usaha membanteras masalah penyalahgunaan dan penagihan dalam komuniti di negeri ini.

Pengarahnya, Wan Madihi Wan Salleh berkata, usaha digerakkan secara bersepadu oleh jabatan dan agensi berkaitan sejak tahun lalu sejajar sasaran kerajaan negeri menurunkan 30 peratus jumlah penyalahgunaan serta penagih dadah menjelang 2025.

"Kawasan pesisir pantai di Melaka dikenal pasti antara KBT berisiko terbabit masalah penagihan dadah iaitu kawasan Tanjung Kling dan Pernu di daerah Melaka Tengah, serta Kuala Sungai Baru dan Kuala Linggi di daerah Alor Gajah.

"Enam lagi KBT penagihan dadah ialah di Krubong, Peringgit, Malim, Masjid Tanah dan Durian Tunggal dan semua data ini diperoleh daripada pelbagai agensi termasuk pihak polis yang melakukan tangkapan di kawasan terbabit," katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu beliau mewakili EEXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, merasmikan Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan peringkat negeri di Ayer Keroh, dekat sini.

Mengulas lanjut, Wan Madihi berkata, menerusi program itu, Krubong menjadi KBT pertama berjaya dihijaukan dan tahun ini, AADK menyasarkan KBT Masjid Tanah dan diikuti lokasi seterusnya menjelang 2025.

"Sejajar matlamat itu, AADK juga memberi tumpuan utama terhadap usaha meningkatkan kadar kepulihan klien bagi mengurangkan penyalahgunaan dadah, selain komited memerangi gejala dadah dengan memberi penekanan kepada masyarakat berkaitan peranan dan tanggungjawab masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, statistik penagihan dadah di Malaysia pada 2021 sehingga September tahun lalu mencatatkan seramai 114,219 orang dikenal pasti terbabit penyalahgunaan dadah dan jumlah itu merangkumi 5,000 orang di Melaka.

Golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun dikenal pasti tertinggi terbabit penagihan dadah dengan 56.2 peratus atau 2,809 orang, diikuti golongan dewasa berusia 40 tahun ke atas (2,140 orang atau 42.8 peratus) dan remaja 13 hingga 18 tahun (50 orang atau 1.0 peratus). – BERNAMA

Berita Harian X