Rabu, 9 March 2022 | 3:25pm

Mekanik edar ganja dijatuhi hukuman gantung sampai mati

Melaka: Seorang mekanik dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas kesalahan mengedar dadah jenis kanabis seberat 449 gram lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ahmad Nasfy Yasin yang bersidang di Mahkamah Tinggi Melaka memutuskan hukuman itu selepas mendapati tertuduh, Izzat Asnawe Noor Azami, 26, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan di akhir kes pembelaan hari ini.

Sebaliknya, beliau berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Antara lain beliau berkata, keterangan tertuduh adalah penafian semata-mata, tidak konsisten dan bersifat 'difikirkan semula' termasuk dalam soal pemilikan dadah dirampas dan rumah sewa tempat kejadian boleh diakses ramai orang.

Mengikut pertuduhan pertama Izzat Asnawie didakwa mengedar 449 gram kanabis di sebuah rumah, No B-3-4 Jalan Malim, Taman Pangsapuri Malim pada 1 Jun 2017 kira-kira 8.30 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 12 tahun dan 10 sebatan bagi dua pertuduhan mengikut Seksyen 39A(2) kerana memiliki masing-masing 166.5 gram dan 116.46 gram kanabis di tempat, masa dan tarikh sama.

Untuk dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 12(2) kerana memiliki 5.2 gram methamphetamine dan 0.10 gram nimetazepam di tempat, masa dan tarikh sama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara masing-masing tiga tahun.

Semua hukuman penjara ditetapkan berjalan serentak daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 1 Jun 2017.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Muzila Mohamed Arsad, manakala tertuduh diwakili peguam R Subash.

Sepanjang perbicaraan bermula 17 Jun 2019, lapan saksi pendakwaan memberi keterangan, manakala pembelaan mengemukakan seorang saksi iaitu tertuduh.

Tertuduh Izzat Asnawe dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas kesalahan mengedar dadah ganja lima tahun lalu. - FOTO NSTP/ MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD
Tertuduh Izzat Asnawe dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas kesalahan mengedar dadah ganja lima tahun lalu. - FOTO NSTP/ MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD
Berita Harian X