Rabu, 9 March 2022 | 9:49am

2 pesara kerugian RM390,500 diperdaya 'Macau Scam'

KEPALA BATAS: Dua pesara mengalami kerugian keseluruhan RM390,500 selepas masing-masing diperdaya sindiket Macau Scam.

Dalam kes pertama, mangsa kehilangan wang simpanan RM148,000 selepas menyerahkan maklumat perbankan miliknya kepada individu yang mendakwa dirinya pendakwa raya, manakala seorang lagi mangsa kerugian RM242,500 ditipu suspek yang menyamar sebagai ejen insurans.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, dalam kes pertama mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai pendakwa raya, memaklumkan mangsa terbabit kes rasuah.

"Mangsa diminta memberikan kerjasama bagi mengelak ditangkap dan pada masa sama turut dimaklumkan terbabit kes jenayah pengubahan wang haram.

"Wanita itu mengarahkan mangsa membuka akaun bank baharu dan memindahkan semua wang miliknya ke dalam akaun terbabit bagi tujuan siasatan, serta mengelak wang berkenaan dirampas.

"Mangsa yang ketakutan menuruti arahan dan memberikan maklumat perbankan terbabit, sebelum menyedari wang RM148,000 yang dimasukkan ke dalam akaun lesap dengan pengeluaran dilakukan secara berperingkat," katanya mengesahkan laporan polis dibuat mangsa.

Dalam satu lagi kes, Mohd Radzi berkata seorang lagi pesara menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ejen insurans mendakwa mangsa terbabit kes tuntutan palsu insurans, selain kes dadah.

"Bagi mengelakkan ditangkap, mangsa diminta mengaktifkan semula akaun bank dan meletakkan wang jaminan RM280,000 ke dalam akaun itu.

"Mangsa menuruti arahan dengan memindahkan wang simpanan serta pinjaman berjumlah RM242,500 dan memberikan maklumat perbankan kepada suspek.

"Mangsa menyedari tertipu apabila cuba mendapatkan baki wang seperti diminta suspek daripada ahli keluarganya, sebelum semakan dibuat dengan pihak bank mendapati semua wang dalam akaun terbabit sudah dikeluarkan," katanya.

Mohd Radzi menasihatkan orang ramai tidak mendedahkan sebarang maklumat perbankan bagi mengelak akaun bank dimanipulasi sindiket penipuan, selain sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon dari individu yang mengaku sebagai wakil agensi kerajaan atau swasta berhubung apa-apa kesalahan jenayah.

Bagi kes ini, katanya polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berita Harian X