Isnin, 7 March 2022 | 7:39pm
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari (tengah) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas di sebuah rumah di Kampung Huma, Mukim Ayer Hangat, Langkawi. - Foto NSTP / HAMZAH OSMAN
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari (tengah) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas di sebuah rumah di Kampung Huma, Mukim Ayer Hangat, Langkawi. - Foto NSTP / HAMZAH OSMAN

Pasangan kekasih antara 3 ditahan, dadah RM73,600 dirampas

LANGKAWI: Polis menahan tiga individu termasuk sepasang kekasih dan merampas hampir lima kilogram dadah bernilai RM73,600 di sebuah rumah di Kampung Huma, Mukim Ayer Hangat di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata serbuan dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi pada jam 5 petang.

"Suspek pertama membabitkan lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan di luar rumah, manakala pasangan kekasih berusia 27 dan 41 tahun ditahan di dalam rumah.

"Hasil pemeriksaan polis menemui dadah jenis heroin seberat 4,082.41 gram (g) dan syabu seberat 775.96g yang disembunyikan dalam beg galas," katanya pada sidang media di IPD Langkawi di sini, hari ini.

Shariman berkata, nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM73,600 dan jika bahan berkenaan terlepas ke pasaran boleh diedarkan kepada lebih 8,000 penagih.

"Turut disita kereta jenis Honda City bernilai RM35,000 serta peralatan membungkus dadah.

"Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ditahan reman tujuh hari sehingga Ahad ini," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X