Jumaat, 4 March 2022 | 1:32pm

Lelaki rugi lebih RM25,000 terpedaya tawaran kerja tak wujud

KUANTAN: Seorang lelaki kerugian RM25,930 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan yang tidak wujud.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa tertarik dengan pekerjaan berkenaan apabila ditawarkan dengan komisen tinggi selepas diperkenalkan rakan sekerjanya yang memaklumkan suaminya melakukan pekerjaan sama.

Beliau berkata, mangsa berusia 28 tahun kemudian berurusan dengan ejen syarikat pekerjaan terbabit bagi mendapatkan maklumat kerja sambilan yang disediakan.

"Wakil syarikat terbabit mengarahkan mangsa membuat bayaran sebelum boleh melakukan pekerjaan sambilan yang menjanjikan komisen tinggi.

"Mangsa membuat 10 transaksi ke dalam dua akaun individu bernama Siti Asmah Ahmad dan Eddy Roslan dengan jumlah keseluruhan RM25,930," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang berasa tertipu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum hingga 10 tahun, selain sebatan dan denda.

Beliau berkata, siasatan awal modus operandi ialah suspek memperdaya mangsa dengan tawaran kerja sambilan yang menjanjikan komisen tinggi.

"Saya menasihatkan golongan pencari kerja supaya lebih berhati-hati dengan tawaran kerja sambilan yang menjanjikan komisen tinggi.

"Mereka sepatutnya membuat semakan dengan agensi kerajaan berkaitan bagi menentukan kesahihan pekerjaan berkenaan bagi mengelak ditipu dan jangan sesuka hati membuat bayaran," katanya.

Berita Harian X