Jumaat, 25 Februari 2022 | 3:49pm
- Foto hiasan. - NSTP/ARKIB
- Foto hiasan. - NSTP/ARKIB

Rayuan pendakwaan terhadap pembebasan timbalan pengarah DBKL diputuskan Isnin

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 28 Februari ini untuk keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh daripada pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM150,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi pemberita, berkata keputusan itu akan disampaikan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid.

"Pihak pendakwaan dan pembelaan selesai berhujah mengenai rayuan itu pada 28 Januari lalu," katanya.

Pada 13 April 2021, pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen pada 8 April, yang melepas dan membebaskan Sabudin daripada pertuduhan rasuah pada akhir kes pendakwaan.

Seramai 10 saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Sabudin yang juga bekas Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL, didakwa atas pertuduhan secara rasuah menerima bagi dirinya barangan berharga berupa wang tunai RM150,000 daripada pengarah Syarikat Tegap Elit Sdn Bhd, Chia Chee Seng.

Ia sebagai dorongan untuk tertuduh melakukan suatu perbuatan di bawah hal ehwal prinsipalnya, iaitu memperakukan sijil bayaran kemajuan tuntutan yang dikemukakan oleh beberapa syarikat.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Ukay Perdana, di sini, antara 13 dan 19 Ogos 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. - BERNAMA

Berita Harian X