Ahad, 20 Februari 2022 | 9:39pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Nelayan hilang selepas bot terbalik

KUANTAN: Seorang nelayan hilang selepas bot yang dinaiki bersama rakannya terbalik akibat terkena tali keroncong bot pukat tunda yang sedang menunda di perairan Karang Tanjung Pelindung, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, mangsa, Fadzely Mohamed, 40, masih hilang, manakala rakannya, Abdul Mutalib Abdul Rahman, 38, terselamat.

Katanya, berdasarkan laporan, mangsa bersama rakannya keluar ke laut untuk memancing ikan dengan menaiki bot gentian kaca mulai jam 7 pagi.

"Pada jam 6.20 petang semalam, ketika dalam perjalanan pulang, bot terbabit kehabisan minyak.

"Selesai mengisi minyak, tiba-tiba kipas enjin bot berkenaan terkena tali keroncong sebuah bot pukat tunda yang sedang menunda di perairan Karang Tanjung Pelindung.

"Kejadian itu menyebabkan bot yang dinaiki mereka terbalik dan kedua-dua tenggelam berada di bawah bot," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, Abdul Mutalib berjaya menyelamatkan diri dengan memanjat ke atas bot yang terbalik, manakala Fadzely berpaut pada tali keroncong.

Bagaimanapun, katanya, tiba-tiba bot pukat tunda yang meneruskan kerja menunda menyebabkan tali yang dipegang Fadzely tersentap dan Abdul Mutalib terjatuh semula ke dalam laut.

"Abdul Mutalib berjaya naik semula ke atas bot yang terbalik itu tetapi mendapati mangsa tiada pada tali keroncong itu dan dipercayai tenggelam.

"Ketika berada di atas bot, Abdul Mutalib diselamatkan nelayan yang juga rakan yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian.

"Mereka mengejar bot pukat tunda terbabit untuk memberhentikannya dan selepas bot pukat tunda itu berhenti, usaha mencari Fadzely dilakukan tetapi gagal mengesannya.

"Rakan mangsa kemudiannya pulang ke pangkalan di Kampung Baru Beserah sebelum membuat laporan polis.

"Operasi mencari dilakukan yang membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta agensi lain," katanya.

Berita Harian X