Sabtu, 19 Februari 2022 | 8:31pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Budak lemas ketika mandi kolam renang

LUNDU: Penginapan sekeluarga di sebuah pusat peranginan di sini, hari ini, berakhir tragedi apabila anak mereka berusia tujuh tahun mati lemas ketika mandi di kolam renang di situ.

Ketua Polis Daerah Lundu, Deputi Superintendan Damataries Lautin, berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.30 pagi, ketika mangsa yang juga anak bongsu bersama dua lagi adiknya mandi di kolam renang bahagian kanak-kanak, dengan ditemani ibu mereka.

Katanya, kejadian disedari oleh orang awam yang mandi di kolam renang itu, yang kemudian membawanya naik dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Usaha bantuan pernafasan (CPR) dilakukan oleh ibu mangsa namun tiada tindak balas.

"Mangsa kemudian dibawa dengan ambulans ke Hospital Lundu dan disahkan meninggal dunia akibat lemas," katanya yang dihubungi, hari ini.

Damataries berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai tenggelam di kolam renang sedalam empat kaki itu selama 30 minit.

Setakat ini, katanya, kes masih dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Berita Harian X