Jumaat, 18 Februari 2022 | 11:33am
Gambar fail, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Gambar fail, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Ahli keluarga diam diri, punca penagih cenderung lakukan jenayah kekerasan

KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir pihak merahsiakan pembabitan ahli keluarga masing-masing dalam penyalahgunaan dadah, antara punca keadaan penagih bertambah melarat sehingga mendorong berlakunya jenayah kekerasan dan bunuh.

Ini kerana, tindakan sedemikian menyebabkan pihak berkuasa terutama polis tidak dapat mengambil langkah awal untuk mengatasi masalah ketagihan, sehingga akhirnya menyebabkan berlakunya kejadian jenayah.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mendapati, seramai 99 penagih dadah terbabit dalam jenayah berat sejak awal tahun ini, manakala 354 lagi dikesan terbabit jenayah sama sepanjang tahun lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata masyarakat dalam keadaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini juga didapati kurang peka atau prihatin dengan keadaan sekeliling, termasuk jiran mereka.

"Sikap ambil tahu atau peka semakin terhakis masa kini, disebabkan masing-masing lebih fokus kepada mencari nafkah semata-mata dalam tempoh pandemik.

"Ini menjadikan rasa kepunyaan atau sikap ambil peduli terhadap persekitaran tidak lagi wujud dalam kalangan masyarakat," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian mengulas kes jenayah kekerasan membabitkan penagih dadah yang semakin meningkat mutakhir ini, termasuk menjurus kepada kes bunuh.

Ayob berkata, apabila keluarga dan masyarakat tidak membantu, program rawatan dan pemulihan sukar dilaksanakan ke atas penagih dadah tegar.

"Ini disebabkan sikap masyarakat yang enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membantu ahli keluarga masing-masing yang ketagihan dadah.

"Tindakan tidak ambil peduli ini akan memperlihatkan kerajaan gagal membantu golongan penagih dadah sepenuhnya," katanya.

Dalam satu kejadian bunuh pada jam 4.55 petang kelmarin, seorang wanita berusia 54 tahun mati dengan lehernya putus selepas disyaki dibunuh anak tirinya menggunakan parang di Kampung Dalam Senduk, Jerek, Gua Musang.

Polis mengesahkan suspek berusia 39 tahun itu seorang penagih dadah dan juga pesakit mental.

Berita Harian X