Khamis, 17 Februari 2022 | 9:04pm
Rakaman CCTV mengenai kejadian samun di sebuah kedai serbaneka - Foto NSTP/PDRM
Rakaman CCTV mengenai kejadian samun di sebuah kedai serbaneka - Foto NSTP/PDRM

2 ditahan samun kedai serbaneka

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki yang dipercayai mendalangi tiga kes samun kedai serbaneka di sekitar Kelana Jaya, Petaling Jaya dekat sini, dalam dua operasi semalam.

Suspek berusia 23 dan 34 itu ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Petaling Jaya di sebuah kawasan di Kelana Jaya dan ibu negara.

Tangkapan itu hasil siasatan satu kejadian samun kedai serbaneka di Kelana Jaya pada Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, dua suspek yang bersenjatakan pisau berpura-pura menjadi pelanggan.

"Ketika di kaunter bayaran, seorang suspek mengacukan pisau kepada penjaga kaunter dan mengarahkannya menyerahkan wang yang ada dalam mesin tunai.

"Mangsa yang bimbang dengan keselamatan dirinya, menyerahkan wang tunai RM500 sebelum kedua-dua suspek melarikan diri," katanya.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang juga seorang wanita berusia lingkungan 40 tahun membuat satu laporan polis pada jam 3.30 petang hari kejadian.

"Hasil pemeriksaan ke atas suspek, kita merampas pakaian serta sebilah pisau yang dipercayai digunakan semasa melakukan samun.

"Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau serta rekod kes penyalahgunaan dadah," katanya.

Tambah Ku Mashariman, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan tiga kes samun kedai serbaneka yang berlaku di kawasan Kelana Jaya dengan penahanan kedua-dua suspek itu.

Mereka kini direman lima hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun berkawan tanpa senjata api.

Berita Harian X