Khamis, 17 Februari 2022 | 7:29pm
Mayat mangsa lemas, Shukri Wahab, 52, dibawa naik ke tepi sungai untuk dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat. Foto/NSTP Nurul Fatihah Sulaini
Mayat mangsa lemas, Shukri Wahab, 52, dibawa naik ke tepi sungai untuk dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat. Foto/NSTP Nurul Fatihah Sulaini

Mayat tersangkut pada pukat

BESUT: Penantian lebih 36 jam mencari mangsa lemas, Shukri Wahab, 52, yang terjatuh ke dalam sungai berhampiran Jambatan Tembila, di sini berakhir apabila mayatnya dijumpai kira-kira enam kilometer dari lokasi tempat jatuh, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman, berkata mayat mangsa dijumpai tersangkut pada pukat yang dipasang orang awam pada jam 6.09 petang.

"Anggota penyelamat membantu membawa mayat dengan bot dan tiba di tepi sungai pada jam 6.40 petang.

"Anggota keluarga kemudiannya membuat pengecaman mayat sebelum dihantar ke unit forensik Hospital Besut untuk bedah siasat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, penduduk, Che Mohd Khalid Sulaiman, 55, berkata dia antara orang terawal menjumpai mayat mangsa tersangkut pada pukat.

"Saya bersama beberapa rakan cuba mencari mangsa di tepi sungai sebelum menjumpai mayat mangsa dengan keadaan lengkap berpakaian," katanya.

Terdahulu ahli keluarga mangsa turut melakukan ikhtiar solat sunat hajat di lokasi pencarian sebagai usaha untuk mengesan mangsa.

Berita Harian X