Rabu, 16 Februari 2022 | 11:08pm

Tiada unsur jenayah

Bagan Datuk: Kematian seorang lelaki dalam kebakaran dan letupan kecil di sebuah pejabat di pelantar ikan di Jalan Tepi Sungai, Hutan Melintang di sini, pagi tadi, disahkan tiada unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata siasatan di lokasi oleh unit pemusnah bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dan forensik bomba mendapati tiada sebarang bahan bakar dijumpai di tempat kejadian.

Beliau berkata, punca letupan dipercayai daripada pengeluwapan bahan mudah terbakar yang belum dikenal pasti.

Katanya, pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah ditemui dan mangsa juga tiada masalah keluarga atau berkaitan perniagaannya.

"Kes dipercayai akibat kecuaian dan diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, katanya, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8 pagi memaklumkan terdengar bunyi letupan di pelantar berkenaan.

Beliau berkata, kebakaran kira-kira satu peratus dengan kesan letupan merosakkan keseluruhan bilik pejabat yang memuatkan satu meja serta kedap udara menggunakan penghawa dingin.

"Pemeriksaan menemui mayat seorang lelaki iaitu pemilik permis berkenaan sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mangsa dijumpai dalam keadaan duduk di kerusi dengan separuh badan dan kerusi terbakar," katanya.

Ahmad Adnan berkata, tiada pekerja lain berada di lokasi ketika kejadian dan kebakaran dipadam oleh saksi iaitu pemilik pelantar bersebelahan yang turut menghubungi bomba.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan dan bedah siasat akan dilakukan pada jam 10 pagi esok bagi mengesan punca kematian," katanya.

Media hari ini melaporkan, Eng Ching Hoe, 43, yang melecur anggota badan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).

Berita Harian X