Rabu, 16 Februari 2022 | 7:16pm
Hasil bedah siasat mendapati tahanan polis yang meninggal dunia secara mengejut, kelmarin akibat penyakit jantung. Foto hiasan
Hasil bedah siasat mendapati tahanan polis yang meninggal dunia secara mengejut, kelmarin akibat penyakit jantung. Foto hiasan

Tahanan polis meninggal dunia akibat penyakit jantung

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan tahanan meninggal dunia secara mengejut kelmarin, berpunca daripada penyakit jantung atau arteri koronari.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, berkata punca kematian diketahui selepas proses bedah siasat mayat mangsa dijalankan Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

"Kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR). Bagaimanapun, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bukit Aman dilaporkan menjalankan siasatan kematian mengejut seorang tahanan ketika menerima rawatan di Hospital Selayang, selepas mengadu sesak nafas.

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan berkaitan kes dadah, pada jam 4.45 petang kelmarin.

Orang kena tahan (OKT) itu kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun pada jam 5.30 petang hari sama, OKT mengadu sesak nafas dan pihak hospital dihubungi untuk mendapatkan rawatan.

Sejam kemudian OKT disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Berita Harian X