Rabu, 16 Februari 2022 | 3:03pm

Terlepas tuduhan bawa hukuman gantung

KUALA TERENGGANU: Seorang tukang rumah terlepas hukuman gantung selepas dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 13 sebatan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana memiliki dadah jenis methamphetamine, Mac tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Shazlan Mohamad, 24, sebelum ini berdepan pertuduhan Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa kepada hukuman gantung jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 12 (2) yang membawa hukuman mengikut Seksyen 39A(2) akta sama apabila peguam tertuduh, Mazlan Md Zain memohon representasi sebelum dibenarkan oleh Jabatan Peguam Negara.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 71.85 gram di dalam bilik sebuah rumah di Manir, di sini, jam 10.30 malam pada 31 Mac 2021.

Tertuduh yang berdepan hukuman mengikut Seksyen 39A(2) akta sama berdepan hukuman penjara seumur hidup atau satu tempoh yang tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 kerana memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 8.77 gram di hadapan sebuah rumah di Manir di sini, jam 10.15 malam pada 31 Mac 2021.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama manakala penjara tiga tahun dan tiga sebatan bagi pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, Hassan mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 31 Mac 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Nik Rabi'atul Adawiah Soupy.

Berita Harian X