Rabu, 16 Februari 2022 | 9:10am

Suri rumah, akauntan rugi RM49,000 ditipu

KUANTAN: Dua mangsa kerugian masing-masing RM35,000 dan RM14,000 selepas terpedaya dengan penipuan yang menggunakan taktik tawaran kerja sambilan palsu yang kononnya menjanjikan pulangan lumayan.

Dalam kes pertama, seorang suri rumah berusia 35 tahun ditipu suspek yang memperkenalkan diri sebagai Manager Lin, kononnya menawarkan kerja sambilan berkenaan yang beralamat di Ladang Gali Estate di Jalan Lipis, dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa terlebih dahulu dihubungi suspek melalui WhatsApp, sebelum bersetuju dengan tawaran itu dan memindahkan bayaran RM510 ke dalam akuan bank seperti diminta.

Beliau berkata, selepas dua urusan berhasil dan mangsa menerima keuntungan RM124 melalui pekerjaan itu, suspek meyakinkan mangsa kelmarin untuk memindahkan lebih banyak wang untuk mendapatkan lebih keuntungan.

"Mangsa yang tertarik janji manis suspek memindahkan RM35,000 melalui enam transaksi ke dalam tiga akaun berbeza diberi suspek.

"Mangsa hanya menyedari tertipu selepas tidak menerima keuntungan seperti dijanjikan dan Manager Lin gagal dihubungi, sebelum tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub semalam," katanya.

Mohd Wazir berkata, modus operandi suspek adalah memperdaya mangsa dengan menawarkan pekerjaan sambilan yang tidak wujud, namun mangsa perlu membayar perkhidmatan disediakan.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 28 tahun yang juga akauntan kerugian lebih RM14,000 selepas terpedaya dengan taktik sama iaitu menawarkan kerja sambilan yang tidak wujud.

Mohd Wazir berkata, mangsa dari Kampung Padang Dua Jalan Bukit Goh, di sini hanya melakukan kerja sambilan dalam talian dan berpeluang menerima komisen 10 peratus daripada pekerjaan dilakukan.

"Mangsa merasa tertipu apabila komisen dijanjikan tidak diterima sedangkan sudah membuat bayaran seperti diarahkan, sebelum mangsa membuat laporan di IPD Kuantan semalam.

"Saya nasihatkan masyarakat tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja tidak wujud memandangkan kes sebegini semakin banyak berlaku dan menyebabkan kerugian besar kepada mangsa," katanya

Kedua-dua kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X