Isnin, 14 Februari 2022 | 6:05pm

Polis tahan 2 lelaki, rampas 3kg heroin, syabu

TAIPING: Polis Perak menahan dua lelaki dipercayai pengedar dadah dan merampas lebih tiga kilogram heroin dan syabu di Medan Perwira, Kamunting, di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata dalam kejadian 9.30 malam, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak mulanya menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di premis berkenaan.

Katanya, pemeriksaan kemudian menemui enam bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki heroin seberat 2,750.31 gram dan satu bungkusan plastik, disyaki dadah methamphetamine atau syabu seberat 256.89 gram.

"Susulan itu, polis menahan seorang lagi suspek yang berada dalam kereta di hadapan premis berkenaan dalam keadaan mencurigakan. Kedua-dua suspek dipercayai aktif dalam pengedaran dadah di kawasan ini. Polis turut merampas dua utas rantai emas, dua telefon bimbit, sebuah kereta dan motosikal yang digunakan.

"Anggaran keseluruhan nilai rampasan dadah dan harta yang disita RM167,374.09, manakala jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan 10,000 penagih," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping yang turut disertai Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Osman Mamat, di sini hari ini.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung bekalan dadah yang diperoleh, manakala siasatan awal mendapati kedua-dua suspek aktif mengedar dadah di daerah ini sejak tiga bulan lalu.

"Suspek pertama penganggur dan memiliki dua rekod membabitkan kes dadah, manakala suspek kedua pemandu lori dan memiliki tiga rekod juga membabitkan kes dadah. Mereka direman selama tujuh hari hingga 17 Febuari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Mior Faridalathrash (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. - NSTP/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Mior Faridalathrash (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. - NSTP/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Berita Harian X