Rabu, 9 Februari 2022 | 11:59am
Mesin ATM di dalam sebuah kedai serbaneka yang diletupkan di Pekan Meru, semalam. - Foto PDRM
Mesin ATM di dalam sebuah kedai serbaneka yang diletupkan di Pekan Meru, semalam. - Foto PDRM

Penjenayah letup mesin ATM, profesional, mahir

KLANG: Polis memburu dua penjenayah 'profesional' yang meletupkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dalam sebuah kedai serbaneka di Pekan Meru dan melarikan sejumlah RM260,000, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti identiti kedua-dua suspek terbabit.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan video berkenaan, suspek dua lelaki berumur sekitar 30-an, identiti belum dikenal pasti tetapi berdasarkan sedikit perbualan suspek, kemungkinan warga tempatan.

"Polis juga percaya kedua-dua suspek mempunyai kemahiran, memang profesional..boleh masuk, letup dan pecahkan mesin ATM.

"Nilai kerugian adalah RM260,000 dan polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan suspek dan lain-lain maklumat," katanya.

Beliau memberitahu media demikian selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di Balai Polis Kapar, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao bersama pegawai dan anggota pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara. - Foto ihsan IPD Klang Utara
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao bersama pegawai dan anggota pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara. - Foto ihsan IPD Klang Utara

Vijaya Rao berkata, siasatan awal mendapati, penjenayah terbabit tidak meninggalkan sebarang bahan letupan atau apa-apa objek yang digunakan untuk melakukan letupan itu.

"Polis percaya suspek meletupkan mesin ATM itu menggunakan sejenis gas melalui satu saluran yang disambung terus kepada kereta dinaiki mereka.

"Siasatan awal juga mendapati, kedua-dua suspek menaiki sebuah kereta klon," katanya.

Semalam, media melaporkan kejadian itu disedari pekerja kedai serbaneka berkenaan ketika mahu membuka kedai pada jam 8 pagi selepas mendapati pintu kaca kedai pecah, selain pintu pada mesin ATM terbuka.

Vijaya Rao berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 4.50 pagi itu dilakukan dua individu yang memecah masuk kedai serbaneka melalui pintu depan.

"Kedua-dua suspek dipercayai meletupkan mesin ATM di dalam kedai serbaneka itu dan melarikan sejumlah wang," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X