Ahad, 6 Februari 2022 | 7:46pm
KEADAAN tiga kenderaan yang terbabit dalam kemalangan maut di Pekan. FOTO Ihsan Polis Pekan
KEADAAN tiga kenderaan yang terbabit dalam kemalangan maut di Pekan. FOTO Ihsan Polis Pekan

Dua terbunuh nahas 3 kereta

PEKAN: Dua maut dalam kemalangan yang membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 36 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 12.30 tengah hari itu, mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta jenis Proton Saga, Chaw Jiun Shyan, 27 dari Kota Tinggi, Johor dan pemandu kereta Perodua Myvi, Zainong Abdullah, 56, dari Pasir Gudang, Johor.

Kemalangan itu turut menyebabkan penumpang Myvi, Yusof Alias, 59 dari Merlimau, Melaka patah tangan kiri serta paha kanan dan kiri.

Empat lagi mangsa yang menaiki Proton Wira tidak mengalami kecederaan iaitu pemandunya, Mohd Azmil Bin Anuar, 32 serta tiga penumpang, Mas Zuana Abdull Rahim, 32; Nur Nazira Zaida Suhaimi, 19 dan Nur Wardah Ariana Mohd Farid, 6.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata siasatan awal mendapati Jiun Shyan yang memandu Proton Saga dalam perjalanan dari arah Rompin menghala ke Pekan.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu Jiun Shyan secara tiba-tiba terbabas ketika berada di selekoh sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Kejadian itu menyebabkan kereta Jiun Shyan bertembung dengan kereta Perodua Myvi yang dipandu Zainong.

"Ketika itu, kereta Proton Wira yang dinaiki empat individu yang berada di belakang Myvi tidak sempat membrek kemudian terlanggar pada bahagian belakang Myvi.

"Akibat kemalangan itu, Jiun Shyan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Zainong meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Nenasi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Proton Saga yang disyaki memandu secara melulu kemudian terbabas masuk ke laluan bertentangan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X