Ahad, 6 Februari 2022 | 10:42am
- Foto hiasan.
- Foto hiasan.

Nak bantu rakan, tapi kena tipu RM8,400

KUANTAN: Seorang penjawat awam di Muadzam Shah, Rompin, dekat sini kerugian RM8,400 ditipu individu yang menyamar sebagai rakannya, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata wanita berusia 39 tahun berkenaan sebelum itu menerima pesanan ringkas melalui aplikasi Telegram dari seorang individu yang mendakwa rakannya.

Katanya, individu terbabit meminta mangsa membuat pindahan wang ke akaun yang diberikan, kononnya kerana akaun miliknya mengalami masalah.

"Tanpa berfikir panjang dan rasa curiga, mangsa membuat lima pindahan wang ke akaun yang diberikan berjumlah RM8,400. Selepas itu, mangsa diminta membuat pindahan seterusnya, tetapi dia enggan kerana curiga. Wanita itu kemudian cuba menghubungi rakannya, tetapi panggilan tidak dijawab," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selepas itu, beliau berkata, penjawat awam terbabit menghubungi kakak rakannya itu untuk bertanyakan perkara berkenaan sebelum dimaklumkan aplikasi Telegram rakannya disalahgunakan oleh individu tidak bertanggungjawab lalu dia membuat laporan di Balai Polis Muadzam Shah.

Dalam kes lain, seorang kerani wanita berusia 34 tahun di Jerantut kerugian RM4,610 apabila terperdaya dengan pinjaman tidak wujud di laman sosial Facebook.

Mohd Wazir berkata, mangsa ingin membuat pinjaman RM10,000, namun diminta membuat pembayaran terlebih dahulu, kononnya bagi urusan perjanjian sebanyak RM4,610.

"Mangsa membuat empat transaksi, tetapi kemudian berasa tertipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jerantut, semalam. Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda jika sabit kesalahan," katanya.

Berita Harian X